Kronologi Pemergian Arwah Siti Sarah Raissuddin (15 September 1984 - 9 Ogos 2021)


Pagi 9 Ogos 2021, Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi yang mempunyai vokal hebat, Siti Sarah Raisuddin akibat jangkitan Covid-19. 

Miss Viral sebenarnya tak dapat bayangkan perasaan keluarga Siti Sarah terutama suaminya, Shuib. 

Dahla kita selalu tengok video diorang dekat Instagram, memang pasangan yang sweet dan boleh nampak macam mana bagusnya arwah menjaga suami dan anak-anak. 

Terngiang-ngiang lagi bunyi gelak arwah sebab dia jenis gelak kuat. Arwah memang baik, sangat baik. Walaupun tak pernah jumpa, kita tahu dia baik sebab ramai sayang and dia selalu sebarkan benda baik-baik je dekat sosial media. 

Kali ini Miss Viral nak ceritakan semula kronologi pemergian arwah Siti Sarah Raisuddin .




Kelahiran

Siti Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raisuddin dilahirkan pada 15 September 1984 dan berusia 36 tahun ketika hari kematiannya.

Perkahwinan & Anak-anak

Pada 26 Februari 2011, arwah Siti Sarah telah berkahwin dengan Shuib. Pasangan ini telah dikurniakan 4 orang anak dimana anak bongsu mereka Ayash Affan baru dilahirkan pada 6 Ogos 2021 secara pra matang.

Anak pertama Uwais Alqarni dilahirkan pada 3 Disember 2011 dan tahun ini memasuki usia 10 tahun. 

Pada 17 Mei 2013, arwah Siti Sarah selamat melahirkan anak ke-2 iaitu anak perempuan yang diberi nama Dzakira Talita Zahra dan tahun ini memasuki usia 8 tahun.

Arwah Siti Sarah kemudiannya melahirkan anak ketiganya, Ariq Matin pada 20 Nov 2015 yang memasuki usia 6 tahun pada tahun ini.

2 April 2021 : Berita Kelahiran Anak ke-4

Selepas 6 tahun usia perkahwinan, arwah Siti Sarah dan Shuib berkongsikan berita yang mereka bakal menimang cahaya mata ke-4. 

Berita tersebut dikongsikan oleh pasangan ini menerusi satu video yang dimuatnaik di Instagram milik mereka pada 2 April 2021.

Mereka sebenarnya mendapat tahu tentang kehamilan tersebut pada 15 Februari 2021 tetapi tidak berani untuk berkongsikan berita tersebut kerana kandungan masih baru. 

26 Julai 2021 (Isnin) : Swab Test Kerana Pembantu Rumah Positif Covid

Pada 26 Julai 2021, Sarah dikejutkan dengan berita yang pembantu rumahnya positif Covid dan tanpa melengahkan waktu, Shuib sekeluarga melakukan swab test di kediaman milik mereka.

Usia kandungan Siti Sarah ketika itu memasuki tujuh bulan. 

27 Julai 2021 (Selasa) : Shuib & Siti Sarah Sekeluarga Positif Covid

Pada 27 Julai 2021, Shuib dan Siti Sarah berkongsikan berita yang mereka sekeluarga didapati positif Covid-19. Mereka kemudiannya melakukan kuarantin kendiri di rumah.

28 Julai 2021 (Rabu) : Tiada Simptom Teruk

Menerusi satu video yang dimuatnaik pada 28 Julai 2021 pada pukul 11.38 pagi, Siti Sarah berkongsikan yang mereka satu keluarga tidak mempunyai simptom teruk. Dia berterima kasih pada mereka yang mendoakan dia sekeluarga.

1 Ogos 2021 (Ahad) : Tiada Simptom Teruk

Arwah Siti Sarah sekali lagi berkongsikan video throwback dia dan sekeluarga melakukan swab test pada 27 Julai  2021. 

“Alhamdulillah sekarang ni keadaan kami masih ok, takda simptom teruk. Yang penting mindset kena KUAT! Jaga makan! Positif selalu. Anggap ujian ni hadiah dari Allah. Terus doakan kami sekeluarga”

4 Ogos 2021 (Tengahari Rabu) : Kongsi Video Resepi

Arwah Siti Sarah ada berkongsikan video resepi masakan yang dimuat naik pada 4 Ogos 2021 pukul 12.26 tengahari. Kalau dengar suara, memang tahu yang Siti Sarah sihat-sihat je masa tu. 

Siti Sarah sebenarnya  berasal dari Ipoh, Perak. Tapi dalam video tu, Siti Sarah pandai bercakap dalam dialek terengganu kerana moyangnya berasal dari Kijal, Terengganu.

4 Ogos 2021 (Rabu Petang) : Tahap Oksigen Siti Sarah Menurun

Pada pukul 6.30 petang, arwah Siti Sarah Raissudin dibawa menaiki ambulan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras kerana tahap oksigen yang semakin menurun dan mengalami batuk yang teruk.

Mereka sekeluarga sepatutnya memotong gelang kuarantin pada hari tersebut. Shuib ada berkongsikan video Siti Sarah memeluk dan mencium anak-anak sebelum dikejarkan ke PPUKM.

6 Ogos 2021 (Pagi Jumaat) : Siti Sarah Dimasukkan Ke ICU

Pada 6 Ogos 2021, hari Jumaat 8.19 pagi,  Shuib berkongsikan keadaan terkini Siti Sarah yang dimasukkan ke ICU kemudiannya ditidurkan kerana oksigen yang tidak berapa stabil dan keadaan Siti Sarah tidak berapa baik. 

6 Ogos 2021 (Tengahari Jumaat) : Siti Sarah Semakin Stabil

Pada pukul 1.37 tengahari 6 Ogos 2021, Shuib berterima kasih pada mereka yang mendoakan kerana Siti Sarah menunjukkan perkembangan positif dan semakin stabil. 

Doktor memaklumkan kepada Shuib yang mereka akan lakukan pembedahan untuk keluarkan bayi pada pukul 2 petang hari sama.

6 Ogos 2021 (Petang Jumaat) : Bayi Selamat Dikeluarkan, Siti Sarah Kritikal

Kira-kira pukul 4 petang, Siti Sarah selamat dibedah bagi mengeluarkan bayi lelaki pada usia kandungan lapan bulan. 

Bayi dalam keadaan baik namun memerlukan alat bantuan pernafasan kerana lahir pra matang.

Shuib juga berkongsikan keadaan Siti Sarah yang agak kritikal dan masih belum sedarkan diri. 

6 Ogos 2021 ( Jumaat Malam) : Oksigen Drop Sehingga 40

Melalui IG Story, Shuib berkongsikan yang pada pukul 11 malam 6 Ogos 2021, oksigen Siti Sarah menurun sehingga 40.

7 Ogos 2021 (Sabtu) : Bayi Dalam Keadaan Sihat, Keadaan Siti Sarah Ada Peningkatan

Pada pukul 4.27 petang, Shuib berkongsikan nama anak ke-4 mereka iaitu Ayash Affan dan keadaan terkini anak mereka yang sudah membuka mata serta sudah menggerakkan tangan dan kaki.

Menurut Shuib, Siti Sarah yang nak sangat beri nama anaknya Ayash Affan.

Sekitar pukul 2 pagi 7 Ogos 2021, doktor ada maklumkan pada Shuib yang oksigen Siti Sarah dari 40  meningkat ke 77 dan kemudiannya 80. Walaupun ada peningkatan, Siti Sarah bagaimanapun masih tidak sedarkan diri.

9 Ogos 2021 (Isnin) : Siti Sarah Meninggal Dunia

Sekitar pukul 5.39 pagi 9 Ogos 2021, menerusi satu post di Instagram, Shuib berkongsikan berita sedih yang isterinya Siti Sarah Raisuddin telah meninggal dunia pada pukul 5.13 pagi 9 Ogos 2021 hari Isnin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.

Menurut Shuib, dia sempat membuat panggilan video buat terakhir ketika arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, sedang nazak bersama anak-anak mereka.

Jenazah Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, di sini, kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Memang sedih sangat, walaupun tak pernah jumpa arwah Siti Sarah, tapi bila tengok dia dekat sosial media memang nampak dia seorang yang baik, ibu penyayang, seorang isteri yang taat, seorang yang lembut bicara. Memang terasa sangat kehilangan dia. 

Kalau kita yang orang asing rasa macam ni, tak dapat bayangkan perasaan Shuib sekeluarga. Kita doakan Shuib kuat dalam menghadapi dugaan besar ni.

Apa pun, apa yang kita boleh buat hanyalah hadiahkan Al-Fatihah dan doakan semoga Allah angkat darjatnya disana dan ditempatkan dikalangan hambaNya yg solehah.


Tiada ulasan: